Audit 2012 : DAP MPPP Pulau Pinang Sewa Rumah Kepada ‘Orang Meninggal’ ?

GEORGETOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah menyewakan perumahan awam mereka kepada 240 orang meninggal dunia, demikian Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Semakan dibuat melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terhadap 1,349 rekod penyewa Perumahan Awam di Kampung Selut, Taman Free School, Lebuh Campbell, Padang Tembak dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai.

“Sebanyak 27 unit rumah disewakan kepada orang yang telah meninggal dunia di Perumahan Awam Kampung Selut dan 98 unit di Taman Free School.

“Di Perumahan Awam Lebuh Campbell pula, sebanyak 17 unit dan 24 unit di Padang Tembak yang dikatakan disewa kepada orang meninggal dunia menurut sumber JPN,” kata laporan berkenaan.

Salah sebuah perumahan awam MPPP yang menjadi rebutan di kalangan penduduk kurang berkemampuan di sini iaitu PPR Jalan Sungai pula, disewakan sebanyak 74 unit kepada
orang yang telah mati.

Antara kelemahan lain dikesan ketika siasatan dijalankan Jabatan Audit Negara, kebanyakan premis dihuni penyewa tidak berdaftar.

“Perjanjian Penyewaan Perumahan Awam menyatakan, premis yang disewa akan diduduki penyewa dan penghuni berdaftar sahaja. Apabila penyewa meninggal dunia, dengan serta merta tempoh penyewaan tamat kecuali atas permohonan bertulis daripada ahli keluarga dalam tempoh 30 hari dari tarikh kematian penyewa asal,” kata laporan itu.

Namun berdasarkan maklum balas 11 Disember 2012, MPPP melaksanakan bancian semua Skim Perumahan Awam pada 2007 hingga 2008.

“MPPP mengesan kes yang mana penyewa berdaftar telah meninggal dunia dan apabila memohon untuk menukar nama, permohonan tidak dapat dipertimbangkan kerana pemohon bukan daripada ahli keluarga terdekat atau gagal memenuhi kelayakan menyewa premis berkenaan,” kata laporan tersebut.

Ini berpunca daripada waris tidak mendedahkan maklumat mengenai kematian penyewa berdaftar.

Dari hasil maklum balas yang diterima juga, waris yang memenuhi kelayakan dibenar untuk melanjutkan penyewaan premis tersebut. Di samping itu, MPPP telah memperkenalkan sistem semakan baharu yang mana semua penyewa baharu skim perumahan awam MPPP diberi tempoh setahun sahaja.

Melalui laporan yang didedahkan, MPPP memberi respons bertindak membuat semakan di JPN setiap tahun.

“Selain itu, syarat untuk tukar nama penyewa berdaftar dalam tempoh 30 hari akan dipinda dalam perjanjian penyewaan iaitu waris penyewa berdaftar dikehendaki memaklumkan kepada MPPP kematian penyewa berdaftar tanpa menetapkan tempoh.

“Setiap kali pembaharuan penyewaan, penyewa berdaftar perlu ke pejabat untuk menandatangani perjanjian penyewaan,” kata laporan itu.

Sinar Harian

Share This Post

Recent Articles

Leave a Reply

You must be Logged in to post comment.

© 2014 SYA. All rights reserved. Site Admin · Entries RSS · Comments RSS
Powered by WordPress · Designed by Theme Junkie